Teks : Zureiny Zulkafly
Entri : 44/44
Foto : Google
Bismillahirrahmanirrahim…
30/4/2017
7.05 pagi
Saya pernah berangan hendak jadi penulis. Teringin memiliki buku sendiri. Saya selalu membaca kisah-kisah mereka yang bermula dari sifar tetapi berjaya menulis dan menerbitkan buku sendiri. Saya sangka menulis ini bergantung kepada bakat semata-mata tetapi sebenarnya ia menuntut lebih daripada itu.
“Saya bukan menulis untuk menjadi hebat. Saya hanya ingin menulis dengan betul dan tepat. Saya menulis untuk ingat.”
Itu iltizam saya dan saya tercari-cari jalan untuk merealisasikannya. Selepas hubby pergi, keinginan untuk menulis menjadi semakin kuat. Saya menulis sebagai satu terapi yang menguatkan jiwa saya. Menulis menjadikan saya fokus dan lebih tenang. Sehinggalah saya terbaca tentang Kelas Asas Blog Penulisan di facebook Puan Saniah Mat Sanat, saya terdorong menghubunginya. Saya terus mendaftarkan diri untuk sesi Jun kerana saya tahu saya perlu berilmu untuk menulis dengan baik.
KOMITMEN
Latih tubi 44 entri dalam masa 20 hari menjadi asas penulisan. Ayat itulah yang menarik minat saya untuk menyertai kelas ini. Daripada 8 soalan analisa, Puan Masayu telah menetapkan arah tuju blog dan konten entri saya. Nampak seperti mudah tetapi tanpa fokus sangat mudah hilang arah. Satu entri pun jadi payah untuk disiapkan.
Memandangkan kelas ini dijalankan dalam masa yang sangat pendek, ia memerlukan komitmen tinggi untuk menyiapkan satu-satu entri. Perlu ikut tarikh yang ditetapkan. Bahasa harus tepat. Ejaan mesti betul. Dengan itu, idea yang kecil dapat dikembangkan menjadi hasil tulisan yang baik dan sempurna. Mahu tidak mahu, sebaik menyertai kelas ini saya tetapkan komitmen untuk menulis walaupun sangat sibuk dengan urusan harian.
KETELUSAN
Daripada kelas ini, secara perlahan-lahan saya dapat memahami tujuan saya menulis. Bukan mencipta kisah omongan yang menjadi hiburan dan kesukaan orang semata-mata tetapi sebenarnya mengolah pengalaman kehidupan menjadi catatan yang bermanfaat.
Telus bukan bererti mendedahkan siapa kita sedalam-dalamnya. Bukan bermaksud melondehkan segala keaiban diri. Ia lebih kepada telus menyampaikan kebaikan juga maklumat-maklumat serta panduan yang boleh memberi manfaat kepada pembaca. Daripada latih tubi itulah, saya belajar menulis apa yang sepatutnya saya tulis.
KERTAS NOTA
Perkara pertama yang ditekankan ialah membiasakan menulis apa sahaja yang terlintas dalam fikiran ke dalam buku nota. Pindahkan maklumat itu ke atas kertas. Sentiasa membawa buku nota ke mana sahaja saya pergi. Tulis apa sahaja yang berlaku dalam hidup saya seharian. Tulis semula pengalaman yang pernah saya lalui. Sejujurnya, ini rutin yang sangat menyeksakan saya. Saya sangka saya boleh menulis apa sahaja pada bila-bila masa. Ini bukanlah kebiasaan saya dan sangat payah untuk saya didik diri saya dengan keperluan ini.
Itulah sebabnya kita disarankan berguru dengan orang yang betul untuk kita mendapat ilmu yang bermanfaat. Idea-idea yang berlegar di dalam fikiran seumpama kuda liar. Meliar tidak tentu arah. Ia perlu diikat dalam bentuk lakaran awal. Kemudian secara perlahan, perbaiki idea dengan penulisan yang baik. Kadang-kadang satu idea boleh dipecahkan menjadi 10 tulisan yang berbeza.
KERJA KERAS
Walaupun bermula dengan menulis pengalaman dan catatan harian, ia tidak akan memberi manfaat jika ditulis sambil lewa. Seperti saya yang memiliki pengalaman asuhan, akan tetap merujuk sumber-sumber berkaitan untuk menghasilkan entri yang baik.
Saya mula belajar ‘blog walking’. Mula belajar untuk selalu membaca blog-blog penulis lain. Saya mula mengenali blogger yang aktif dan konsisten dengan penulisan yang bagus-bagus. Ini memerlukan sedikit inisiatif dan kerja keras untuk memastikan saya dapat menulis blog saya sendiri dengan sebaiknya. Sedikit sebanyak saya belajar ilmu baru dan saya dapat praktikkan pula dalam tugas asuhan saya.
KEMAMPUAN
Kalau tidak dipecah ruyung manakan dapat sagunya. Kalau tidak bersungguh manakan dapat hasilnya. Daripada latih tubi 44 entri ini ia menguji kemampuan saya menulis mengikut panduan tajuk yang diberikan oleh Puan Masayu. Abaikan dahulu kecacatan bahasa yang tidak berbunga-bunga. Abaikan dahulu khazanah kata yang tidak menarik. Tulis dahulu dan dalam proses itulah saya belajar sedikit demi sedikit menulis mengikut acuan saya sendiri. Barulah saya sedar saya mampu menulis dengan baik.
KEAZAMAN
Sepanjang proses menulis, banyak pengalaman yang saya lalui. Menulis pengalaman tidak semudah yang disangka kerana ada kalanya saya hanyut dengan perasaan sendiri. Saya pernah gagal menamatkan kelas sesi Jun kerana faktor kesihatan. Saya hilang fokus ketika itu kerana ada artikel saya mendapat komen negatif.
Saya terkedu dan sedih. Saya patah hati. Saya mula rasa menulis bukan sesuatu yang sesuai dengan saya. Saya terfikir untuk berhenti di pertengahan. Saya rasa usaha saya adalah sia-sia. Fikiran saya agak bercelaru ketika itu. Tambahan pula hubby tiada di sisi saat-saat saya memerlukannya. Saya bertambah lemah.
Saya berhubung dengan Puan Masayu Ahmad dan Puan Netty untuk meminta pandangan dan nasihat. Saya masih simpan pesanan Puan Masayu “Menulis kesukaran lalu adalah terapi cuma ada cara. Perlu berseni sikit. Apabila kita baca ia satu kekuatan untuk bangkit. Bukan aib.”
Puan Netty juga berpesan yang menulis ini tiada betul atau salah. Kalau kena caranya apa yang ditulis akan menjadi kebaikan sampai bila-bila. Bertitik tolak dari situ, persepsi saya berubah. Nasihat yang baik daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang penulisan memberikan kesan positif kepada saya. Saya belajar untuk jadi cerdik dengan tulisan-tulisan saya. Saya mendaftar semula untuk sesi ulangkaji pada bulan Ogos. Itu membuktikan keazaman saya untuk menyelesaikan apa yang telah saya mulakan.
Seikhlasnya, kelas ini bukannya melatih saya menulis tetapi mendidik ‘attitude’ atau sikap yang sepatutnya ada pada seorang penulis. Setiap insan memang dikurniakan bakat semulajadi untuk menulis. Yang bezanya adalah sejauh mana penulis itu bertanggungjawab terhadap tulisannya. Menulis ini bukan untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya sejauh mana tulisan itu bakal menyambungkan pahala yang berpanjangan untuk kita setelah kita tiada nanti.
Terima kasih untuk Puan Masayu yang sangat sabar dengan kekurangan diri saya. Walaupun dia tahu kelemahan saya tetapi dia tidak pernah putus asa memberi dorongan. Dia yakin saya mampu melakukan. Terima kasih untuk Puan Netty yang telah memberi peluang artikel saya diterbitkan di portal Mingguan Wanita pada 14/8/2017. Terima kasih yang tidak terhingga juga buat teman-teman seperjuangan yang sama-sama gigih belajar menulis dengan baik dan menjadi yang terbaik.
Hanya Allah yang selayaknya membalas kebaikan kalian. Teruskan menulis...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan