Ini buku catatan harian saya yang di bawa ke mana-mana sahaja.
Ini di antara isi kandungan di dalam buku catatan harian
Buku Nota dan Rujukan
Buku Nota dan Rujukan
Ia menjadi satu peluang yang bertuah bagi saya apabila diberi peluang oleh Puan Masayu Ahmad selaku mentor dan pengasas Tutorial Asas Blog dan Penulisan ( TABDP ) untuk menulis dan duduk bersama-sama penulis-penulis blog yang lain. Akhirnya saya lengkap membuat latihan tubi 44 entri. Alhamdulillah.. Terima kasih Allah. Terima kasih sifu.
Pada awalnya saya memang berasa kecewa apabila tidak pandai membuat blog dengan baik. Banyak sebenarnya yang perlu saya teroka dan akhirnya memilih untuk berputus asa malah tidak melakukan sebarang latihan seperti yang dikehendaki. Sebuah buku catatan saya catat setiap info dari grup TABDP sebagai ulangkaji dan sebuah lagi buku nota untuk catatan harian. Adakalanya catatan harian saya tidak konsisten menulis kerana kekurangan idea. Agak lama saya tinggalkan blog ini.
Entah bagaimana ketika mencari ‘dokumen’ di dalam laptop, sambil mengemaskini fail-fail, saya terjumpa satu fail di atas nama ‘My Blog Nizarinaabubakar@gmail.com’ . Kemudian buka dan baca apa yang telah ditulis, lebih kurang 5 entri telah dicatatkan. Diri sendiri juga terlupa yang telah menulis entri sebanyak itu.
Orang yang membantu saya membuat blog adalah rakan sekerja saya. Seorang guru yang baru berpindah masuk, seorang yang mempunyai daya pemikiran yang lebih dewasa jika mahu dibandingkan dengan umurnya yang masih muda. ‘Post’ pertama di dalam blog saya adalah tulisan daripada beliau. Katanya sebagai pemangkin semangat kepada saya yang perlu berusaha mencantikkan blog.
****
Menulis bukan satu perkara yang mudah, apatah lagi tulisan yang dibaca oleh masyarakat umum. Apa yang kita tulis, kita perlu tanggung akibatnya. Menulis perkara yang baik maka perkara yang baik akan datang kepada kita. Jika menulis perkara yang tidak baik dan menyebabkan fitnah malah penulsan tidak baik itu menjadi ikutan atau kepercayaan ia adalah dosa yang perlu ditanggung oleh penulis bukan sahaja di dunia malah pada hayat yang akan datang.
Tutorial Asas Blog dan Penulisan bukan sahaja hanya sekadar mencapai matlamat menulis sebanyak 44 entri, tetapi ia menzahirkan sesuatu untuk saya kongsikan sebagai pembacaan dan kenangan.
Semasa memulakan penulisan (saya menyambung penulisan yang lama) memang saya mengalami sedikit kesukaran. Saya mahu menulis sesuatu yang mudah difahami dan tidak jemu apabila dibaca serta bersama-sama berkongsi rasa apa yang mahu disampaikan. Selain itu, ia juga menjadi salah satu platform mempromosikan diri dengan percuma dan salah satu cabangan mengembangkan bakat atau perniagaan yang kita usahakan.
Pepatah ada menyebut, latihan yang berulang akan menjadikan ia sempurna. Pada saya itu agak tidak relevan. Jika latihan yang berulang tanpa membetulkan apa yang salah, ia tidak akan menjadi sempurna. Ini yang saya belajar di dalam TABDP. Saya belajar sambil menulis. Jika di baca penulisan saya dari awal, memang terdapat banyak kesilapan dan saya masih tidak jemu untuk belajar.
Banyakkan membaca buku ilmiah juga dapat membantu kita menulis dan membaca blog dari penulis yang lain juga dapat memberikan kita idea, apa yang mahu dan perlu kita tulis.
Kini saya masih lagi menulis dengan konsisten di dalam buku catatan harian dan ia menjadi satu keresahan apabila tidak menulis. Semoga saya terus istiqamah menulis perkara yang baik-baik selain mempromosi bakat kecil saya kepada umum. Matlamat saya ialah menulis untuk saham akhirat.
Terima kasih sifu dan rakan-rakan yang bersama-sama memberikan sokongan sehingga wujudnya blog saya ini. Semoga Allah melimpahkan segala Rahmat-Nya dan Keredaan-Nya atas setiap apa yang kita tulis.





Tiada ulasan:
Catat Ulasan